Ilmu Nafas

* petikan dari buku Permata Yang Hilang - mukasurat 85

Permulaan hidup manusia adalah melalui Nafas. Apabila manusia lahir, yang pertama sekali memasuki jasadnya adalah Nafas. Badan seorang bayi akan bertukar menjadi kemerahan selepas saja dia menyedut Nafas buat pertama kalinya. Berakhirnya hidup disedari dengan berhentinya Nafas. Di sepanjang hidup manusia, akan terus menerus bernafas sama ada dalam sedar atau tanpa sedar. Sama ada nafasnya betul atau tidak betul jarang sekali mahu dikaitkan dengan kesihatan dan penyakit. Ramai manusia tiada menghiraukan cara bernafas. Fenomena ini mempunyai kesan yang kurang baik pada kehidupan manusia itu sendiri. Di zaman dahulu orang-orang yang berilmu telah menjaga cara bernafas sama seperti keperluan untuk menjaga bahan yang dimakan dan cara makan minum. Apabila kita merujuk berbagai ajaran mengenai nafas maka kita tahu bahawa nafas itu bukanlah udara dan bukan juga oksigen. Ia mempunyai rahsia yang lebih mendalam dan lebih jauh dari semata-mata pembakaran oksigen dalam badan dan hembusan karbon dioksida ke udara.
Secara umumnya memang nafas berkaitan dengan keseimbangan suhu badan, dari suhu yang sesuai maka kepekaan, kekuatan serta ketahanan akan terbina. Tanpa menjaga cara bernafas pun secara spontan manusia terpaksa menyedut dan menghembus tetapi cara yang salah akan memberi akibat yang buruk pada kehidupan. Membina cara bernafas yang betul bermula dari menyedari bahawa kita menyedut dan menghembus ke udara. Ada sebab mengapa kita bernafas dengan pantas dan perlahan-lahan di kala yang lain. Secara mudah dapat kita lihat bahawa jika kita bekerja keras dan letih maka nafas akan menjadi pantas dan pendek-pendek. Jika kita bertenang atau cuba bertenang (membaca buku ilmiah atau memasukkan benang ke dalam jarum) maka kita akan menarik nafas dengan perlahan sekali dan menahan nafas kemudian menghembusnya dalam cara yang juga perlahan. Maka timbul persoalan sama ada nafas yang pendek-pendek itu akan pula menjadikan kita letih dan mudah hilang tenaga dan nafas yang panjang-panjang itu akan membuatkan kita lebih tenang dan dapat mengawal diri dengan lebih baik. Jimak adalah satu suasana yang gawat dengan keghairahan. Degupan jantung adalah lebih pantas dari keadaan normal. Pernafasan pada ketika itu jika tidak dikawal akan menjadi pantas dan singkat. Jika kita bernafas pantas tanpa cara yang betul maka jantung tidak digunakan dengan kapasiti yang sepenuhnya. Nafas yang disedut secara dangkal akan gagal memberi latihan yang cukup pada jantung bagi menghadapi suasana yang gawat dengan keghairahan itu. Nafas yang tidak mencukupi akan menjadikan otak lemah dan berikutan itu tubuh menjadi lemah. Otak, jantung dan tubuh yang lemah akan mudah khayal dalam keghairahan dan tidak bertenaga pada masa berjimak. Maka Ilmu Nafas perlu diketahui. Berbagai bangsa dan agama telah mengajarkannya. Ilmu ini mungkin tidak secara langsung dikaitkan dengan Ilmu Senggama tetapi diajarkan secara umum.